Al-Quran, mukjizat Rasulullah mengandungi lautan ilmu tidak bersempadan. Ilmu matematik juga tidak terlepas perbicaraannya di dalam Al-Quran, terutamanya dalam ilmu faraidh, ilmu tentang pembahagian harta pusaka.
Apa yang menarik berkenaan ilmu ini daripada ilmu feqh yang lain ialah ia menggabungkan 2 disiplin ilmu iaitu ilmu feqh dan ilmu matematik (dalam tajuk pecahan). Seseorang itu tidak akan dapat menyelesaikan sesuatu kes pembahagian harta pusaka sekiranya dia hanya mahir dalam salah satu bahagian ilmu sahaja. Tidak dapat tidak kedua-dua bahagian ilmu ini perlu dikuasai dengan baik untuk mahir dalam ilmu faraidh.
Ilmu feqh dalam ilmu faraidh ialah ilmu yang datangnya daripada Al-Quran , As Sunnah dan Ijma' para sahabat. Contoh daripada Al-Quran iaitu di dalam surah An Nisa' ayat 11 dan 12. Manakala dalam hadith Rasulullah pula contohnya ialah mafhum sabda baginda SAW, " Berikanlah bahagian warisan yang telah ditentukan itu kepada pemiliknya. Adapun bakinya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya."
Berkenaan ijma' para sahabat pula bagi beberapa masalah yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran dan As Sunnah seperti masalah gharrawiyatain iaitu ahli waris hanya tinggal bapa, ibu dan salah satu suami isteri. Di dalam feqh faraidh juga menerangkan takrif faraidh, rukun-rukunnya, syarat-syaratnya, bahagian-bahagian untuk setiap ahli waris yang berhak mendapat warisan, mereka yang terhalang daripada mendapat warisan dan sebagainya.
Manakala ilmu matematik dipraktikkan ketika terhimpunnya ahli-ahli yang berhak terima harta pusaka setelah melalui proses-proses tertentu seperti proses tapisan iaitu siapakah yang terhalang samada terhalang daripada menerima warisan ataupun terhalang bahagiannya menjadi kurang kerana dipengaruhi oleh ahli waris yang lain. Setelah proses-proses ini selesai dengan setiap daripada mereka ada bahagian masing-masing sepertimana telah ditentukan di dalam Al-Quran maka ketika itu pengiraan dibuat dengan menggunakan pecahan matematik untuk mengetahui berapakah bahagian bagi tiap-tiap ahli waris secara terperinci. Kemudian bahagian-bahagian inilah akan dikalikan dengan harta peninggalan si mati.
Contoh pengiraan ini ialah jika sesorang meninggal dunia meninggalkan ayah, suami, seorang anak lelaki dan seorang saudara kandung lelaki. Proses pertama iaitu menggunakan ilmu feqh dengan cara kita menentukan siapakah yang berhak mendapat harta dan siapakah yang terhalang daripada mendapat harta. Dalam kes ini hanya saudara lelaki sahaja yang terhalang oleh bapa dan anak lelaki. Maka yang berhak mendapat warisan ialah ayah, suami dan anak lelaki. Proses seterusnya ialah kita lihat bahagian masing-masing iaitu ayah mendapat 1/6 kerana ada anak lelaki, suami pula mendapat 1/4 kerana ada anak lelaki dan anak lelaki mengambil baki daripada harta.
Kemudian proses yang kedua melibatkan ilmu matematik. Di sini ada 2 pecahan iaitu 1/6 dan 1/4. Masalah di sini ialah kita tidak boleh tambahkan pembilang secara terus iaitu 1 + 1 kerana penyebutnya berlainan iaitu 6 dan 4. Jadi cara penyelesaiannya ialah mula-mula sekali kita cari gandaan sepunya terkecil (GSTK). Masih ingat lagi belajar dulu ketika sekolah? Jadi GSTKnya ialah 12 kerana kedua-duanya boleh dibahagi dengan 12 iaitu (.2 x 6 =12) dan (3 x 4 =12). Kemudian kita tentukan kedua-dua pembilang yang baru dengan cara kita darabkan pembilang masing-masing dengan angka.tadi (2 dan 3) iaitu 1 x 2 = 2 dan 1 x 3 = 3. Maka pembilang yang baru ialah 2 dan 3. Maka bahagian yang baru bagi ayah ialah 2/12 dan bahagian suami pula ialah 3/12. Oleh sebab kedua dua penyebut ini serupa, kita boleh terus tambahkan 2 pembilang 2 + 3 = 5. Oleh itu ayah dan suami mendapat 5/12 daripada harta manakala anak mendapat baki daripada 5/12 tadi iaitu 7/12 (12/12 – 5/12). Akhir sekali barulah kita tahu bahagian masing-masing setelah melakukan beberapa perhitungan iaitu ayah mendapat 2/12 daripada harta, suami pula mendapat 3/12 daripada harta dan akhir sekali 7/12 daripada harta buat anak lelaki. Begitulah contoh pengiraan dalam ilmu warisan.
Umat Islam kini masih lagi kekurangan pakar-pakar dalam ilmu faraidh oleh itu saya mengajak sahabat sekalian, mempelajari ilmu ini dengan bersungguh-sungguh sehingga menjadi seorang yang 'alim dalam bidang mawarith seterusnya mengajarinya kepada masyarakat kerana ianya sangat dituntut seperti mana sabda Baginda SAW ,
" Pelajarilah ilmu faraidh serta ajarkanlah, sesungguhnya ia adalah setengah dari ilmu dan ia akan dilupakan dan sesungguhnya ia adalah yang pertama kali yang akan dicabutkan dari umatku."
Bukan setakat umat Islam malah para orientalis juga mengakui ilmu ini walaupun mereka ini musuh yang ingin memusnahkan Islam. Sebagai contoh, seorang orientalis yang bernama Rumsey menyatakan," Pembahagian harta pusaka dalam Islam tidak syak lagi merupakan sistem perundangan harta yang paling baik dan canggih yang pernah diketahui oleh dunia bertamadun."
Jikalau sang kafir boleh mengakui ilmu ini, alangkah lebih indahnya jika ilmu ini berada di dalam dada kita sebagai pewaris nabi…..
Hilmi Haniz b Muhammad
Belajar faraidh melalui video tutorial ->
www.edaurah.blogspot.com
Feqh Faraidh ->
www.faraidh.blogspot.com