|
Pada 31 Disember
2007 Akhbar New Straits Times
melaporkan bahawa Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah memberikan
kelulusan pembaharuan permit penerbitan bagi akhbar Katolik Herald: The Catholic Weekly. Sebelum itu
pihak Kerajaan telah menangguhkan pembaharuan permit tersebut untuk meneliti
sama ada penggunaan kalimat Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam agama
Kristian sesuatu yang wajar. Langkah ini dibuat setelah masyarakat Islam
melahirkan rasa tidak puas hati. Ternyata Kerajaan telah mengambil kira
pandangan beberapa pihak yang tidak mahu penggunaan kalimat tersebut
dibenarkan. Walaupun akhirnya permit diberikan tetapi Kementerian tetap
melarang akhbar terbabit untuk menggunakan perkataan Allah sebagai Tuhan agama
Kristian.
Akhbar Harakah yang menjadi lidah rasmi
pembangkang pada keluaran 1-15 Januari pula menulis bahawa Ketua Dewan Ulama
Pas mengatakan bahawa tidak salah penganut Kristian menggunakan kalimat Allah
dengan alasan ia telahpun digunakan sebelum ini di beberapa Negara tertentu. Di
sini kesan yang tampak adalah “pandangan kami semestinya berbeza dengan
penguasa”: apapun pandangan lawan adalah salah dan apapun pandangan kawan
adalah benar. Dengan pendekatan tersebut ia diharap dapat menunjukkan betapa
toleransinya pihak pembangkang kepada orang bukan Islam. Tentunya ini
diharapkan dapat meraih simpati orang bukan Islam terhadap pembangkang.
Persoalannya adalah apakah ini cara yang tepat untuk memperoleh sokongan? Dari
pihak Muslim liberal, A Farish Noor mengatakan bahawa kalimat Allah tidak boleh
dimonopoli oleh umat Islam. Dengan demikian sekali lagi telah menyalahtafsirkan
bantahan umat Islam sebagai satu ketaksuban dan sikap tidak bertoleransi. Tanpa
melihat dan cuba memahami hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang
membantah.
Kalimat Allah
adalah istilah teknikal yang khusus untuk merujuk kepada nama Tuhan bagi orang
Islam. Penggunaan kalimat ini oleh para pendakwah Kristian mempunyai tujuan
mengelirukan umat Islam. Mesej yang tersembunyi adalah Tuhan penganut Kristian
tidak berbeza dengan Tuhan orang Islam. Kerana mereka telah menerima konsep
pluralisme agama bahawa semua agama pada hakikatnya sama sahaja dan kebenaran
sesuatu agama tidak bersifat ekslusif. Faham pluralisme agama ini telah
diterima oleh sebahagian besar masyarakat bukan Islam. Hanya umat Islam sahaja
bertegas bahawa Islam sahaja agama yang benar sesuai dengan ajaran al-Qur’an.
Jika umat Islam telah menerima bahawa Tuhan agama Kristian dan agama Islam
adalah sama maka lebih mudah untuk memujuk mereka bertukar agama (murtad).
Seharusnya di Negara-negara yang majoritinya umat Islam, orang Kristian perlu
lebih menghormati sensitiviti orang Islam. Namun sebaliknya golongan minoriti
ini cuba menggugat kepentingan golongan majoriti. Mereka perlu sedar bahawa di
negara-negara majoriti Muslim ini umat Islam masih memiliki semangat keagamaan
yang baik sehingga segala usaha untuk menggugat kepentingan umat Islam akan
menimbulkan kekecohan dan bantahan yang kuat daripada masyarakat Islam.
Pada hari ini
kalimat Allah memang bukan hanya digunakan oleh umat Islam. Kalimat Allah
dibenarkan, atau lebih tepat lagi dibiarkan, digunakan oleh masyarakat Kristian
di Indonesia dan Lubnan kerana pemerintahan sekular seperti Indonesia dan
Lubnan tidak akan campur tangan dalam hal-hal berkaitan dengan agama tertentu.
Malah di negara seperti Lubnan kelompok Kristian mempunyai pengaruh yang besar
kepada kerajaan. Jadi tindakan membiarkan pihak Kristian menggunakan kalimat
Allah bukan satu toleransi tetapi satu penggadaian hak dan kedaulatan. Ia
adalah satu kerugian yang besar dan kelemahan yang nyata apabila umat Islam
membiarkan penganut agama lain mendangkalkan konsep dan istilah penting dalam
Islam. Perkataan Allah, Solat, Nabi, Rasul, dsb. membawa makna yang tersendiri
setelah digunakan oleh umat Islam berkurun lamanya. Kalimat-kalimat ini telah
menjadi bahagian penting daripada pandangan sarwa Islam (Islamic worldview). Jika ia
dikaburkan maka sudah tentu akan memberi kesan kepada pemikiran umat Islam.
Sesiapa pun yang
ingin memahami persoalan ini perlu sedar bahawa beberapa istilah keagamaan
tertentu telah menjadi milik umat Islam. Sebarang tindakan mengimpotnya boleh
dikira sebagai penyalahgunaan dan pencabulan terhadap agama tersebut. Oleh itu
istilah keagamaan ini, dari agama manapun ia datang, mesti dihormati oleh
penganut agama lain. Seperti istilah Pope,
Paderi (priest), Sami (Monk) dalam
agama Kristian tidak boleh digunakan sewenang-wenang oleh agama lain. Bukan
sahaja kerana ia telah sinonim dengan agama penggunanya tetapi juga kerana
kalimat ini telah diwarnai atau mengandungi pandangan sarwa penggunanya.
Kita perlu jelas
bahawa sikap Islam terhadap agama lain tidak seperti yang digambarkan oleh
media Barat. Sejarah menunjukkan umat Islamlah yang paling toleran terhadap
penganut agama lain. Toleransi hanya akan wujud apabila ada rasa hormat. Jadi
tumpuan perlu diberikan kepada sikap dan bukan ajaran sesuatu agama. Toleransi
tidak bermakna melucutkan kepercayaan dan keyakinan seseorang demi mewujudkan
keharmonian. Kita perlu sedar bahawa wacana pluralisme yang dicanangkan oleh
Barat adalah wacana yang berasaskan kepada sekularisme dan falsafah-falsafah
yang memusuhi agama. Bagi umat Islam, agama adalah sesuatu yang terakhir untuk
dikorbankan. Sedangkan bagi majoriti masyarakat Barat agama sudah tidak memberi
apa-apa makna dalam kehidupan lagi.
Tiba saatnya
umat Islam, dengan diwakili oleh ulama dan umaranya, berfikir cerdas. Menimbang
sesuatu perkara secara ilmiah dan mendalam tanpa wujud unsur kepentingan
sesaat. Dalam membahas sesuatu isu khususnya berkaitan dengan sensitiviti umat
Islam hendaklah mempertimbangkannya dengan baik dan tidak mengambil kesimpulan
secara pantas/adhoc. Kepentingan
politik adakalanya perlu diketepikan dan keutamaan patut diberikan kepada
kepentingan keseluruhan masyarakat.
*Penulis adalah
Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.
|