UNIVERSITI HARI MUKA: Lakaran Senario Pasca-Tsunami. Oleh Dzulkifli Abdul Razak. Penerbit Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2007. ISBN 978-893-861-326-2. 133 hlm.Keterhutangan tamadun Barat terhadap tamadun Islam adalah suatu yang tidak mungkin dapat dinafikan. Sarjana-sarjana tersohor Barat sendiri mengakui jika tidak kerana sarjana-sarjana Muslim pada abad ke-8 sehingga abad ke-14, tamadun Barat tidak mungkin dapat merekayasa kemajuan seperti yang terlihat pada masa ini. Montgomery Watt mengakui bahawa tamadun Barat gagal mengiktiraf sepenuhnya sumbangan tamadun Islam terhadap tamadun Barat. Bahkan menurut Watt ketergantungan tamadun Barat terhadap tamadun Yunani-Romawi yang selalu dibesar-besarkan adalah suatu yang keterlaluan. Lebih jelas lagi Watt mengatakan: “it is clear that the influence of Islam on Western Christendom is greater than is usually realized. Not merely did Islam share with western Europe many material product and technological discoveries; science and philosophy; but it provoked Europe in forming a new image of itself. Because Europe was reacting against Islam it belittled the influence of the Saracens and exaggerated its dependence on its Greek and Roman heritage. So today an important task for us western Europeans, as we move into the era of the one world, is to correct this false emphasis and to acknowledge fully our debt to the Arab and Islamic world” (The Influence of Islam on Medieval Europe, Edinburgh, 1972:84).
Membaca buku Universiti Hari Muka sangat menyenangkan. Sesiapa pun akan senang mendengar bahawa al-Battani, atau dikenali di Barat sebagai Albategnius (858-929M), telah menciptakan jadual astronomi yang kemudian digunakan oleh saintis-saintis Barat seperti Copernicus dan Galileo pada abad ke 15-17. Ini bermakna teori heliosentrik yang dibangun oleh Galileo sebenarnya berlandaskan karya orang Islam. Penemuan tersohor al-Battani adalah menetapkan kedudukan orbit solar dengan lebih baik dari Ptolemy. Copernicus, yang terkenal dengan buku On the Revolutions of the Heavenly Spheres dan menggoncangkan keyakinan Gereja, ternyata banyak merujuk kepada karya al-Battani. Tidak kurang hebatnya juga seorang pakar matematik terkenal di zaman itu adalah al-Zarqali atau disebut Azarquiel (1028-1087M) yang mencipta jadual Toledo dan almanac (kalendar) bahkan nama beliau disemadikan sebagai salah satu nama kawah di permukaan bulan (hlm.20). Orang Islam tentunya akan gembira mendengar keunggulan ilmuwan-ilmuwan Muslim dalam sains dan teknologi pada zaman silam. Karya Ibn Sina misalnya al-Qanun fi al-Tibb telah menjadi rujukan sekurang-kurangnya 500 tahun dalam bidang perubatan di Barat. Hal ini diakui sendiri oleh ‘bapa’ perubatan moden Sir William Osler (hlm.24). Ilmu sains yang sebelum kedatangan Islam tidak mendapat sambutan, setelah dikembangkan dan dibangunkan oleh ilmuwan Islam telah berjaya mendapat perhatian dunia. Sehingga pada abad ke 10-14 M., Andalusia telah menjadi pusat ilmu (centre for the transmission of Islamic sciences to Europe). Bahkan menjadi kebanggaan masyarakat Barat apabila seseorang itu telah berjaya menguasai sains dan falsafah Islam. Robert Briffault sebagai contoh mengatakan: “from all parts of Europe numerous students betook themselves to the great Arab seats of learning in the search of light which only there was to be found…[they] read and study passionately the Arab books, gather at great expense great libraries of these and everywhere proclaim with loud voice how admirable is that literature”(hlm.124). Perkembangan ilmu di Andalusia menjadi perhatian besar penulis buku ini. Jelas beliau ingin menjadikan Andalusia sebagai model dalam membangun tamadun hari ini. Terdapat 3 bab yang membahas secara terperinci perkembangan ilmu di Andalusia: bab 2 judul yang diberikan adalah Menoleh ke Belakang untuk ke Hadapan, dan pada bab ke 5 judulnya adalah Mendekati Alam Andalusia, kemudian dalam Epilog penulis membahas Islam Hadhari in Action: Lesson From Andalusia. Namun terdapat persoalan besar yang menanti untuk dijawab oleh para cendekiawan Muslim: Mengapa wujud jurang yang besar (missing link) antara pencapaian zaman silam dengan realiti semasa dan masa depan umat Islam? Tidak heran apabila ramai pengkritik mengatakan bahawa tulisan-tulisan seperti ini hanyalah mengukuhkan wacana historical triumphalism (kejaguhan sejarah). Tidak sedikit yang menuduh kita hanya tahu bernostalgia akan masa lalu, dan tidak mampu untuk merubah hari ini untuk membuktikan keperkasaan diri kita dan bukan nenek moyang kita. Namun demikian, tulisan Profesor Dzulkifli yang mengkaji pencapaian tamadun Islam khususnya di Andalusia memang sangat dirasakan kepentingannya. Ia sangat penting untuk mengembalikan keyakinan umat Islam terhadap Islam. Akibat pengaruh sekularisme dan modernisme, ramai orang Islam sudah tidak yakin dengan Islam sebaliknya melihat sekularisme dan modernisme Barat sebagai jalan keluar daripada kemunduran. Tidak syak lagi, cultural confidence (keyakinan budaya) sangat penting untuk pembangunan insan. Pembangunan insan tidak dapat dilakukan dengan mengambil seutuhnya budaya asing. Justeru umat Islam perlu waspada terhadap cultural colonialization (penjajahan budaya) yang dianjurkan oleh Barat pada hari ini. Dalam konteks ini peminggiran bahasa Melayu akan melancarkan lagi penjajahan budaya Barat ini. Dengan membaca buku ini, pembaca yang cenderung menganggap Islam itu mundur, kaku (rigid) dan anti kemajuan akan tercengang dan terkejut bahawa gambaran Islam yang mereka percayai selama ini ternyata tidak benar. Amat jelas sekali bahawa Islam hari ini digambarkan oleh media Barat dengan kemunduran, kegelapan dan keganasan. Dan gambaran buruk dan tidak adil terhadap Islam ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi (brainwash) minda umat Islam. Akhirnya sebahagian umat Islam tidak lagi mengenal Islam yang sebenarnya. Bahkan sebahagian dari mereka malu dengan identiti keislaman yang mereka miliki, dan tidak sedikit yang ingin menukar nama dan agama. Mereka lebih mengenal peradaban Barat dengan tokoh-tokoh seperti Descartes, Newton, Einstein, Hume, Locke sebaliknya tidak mengenal sama sekali al-Battani, Ibn Khaldun, al-Khawarizmi, al-Biruni, al-Tusi, dan lain-lain. Memang aneh sekali melihat satu umat yang tidak bangga dengan ilmuwannya sendiri tetapi lebih bangga dengan ilmuwan umat atau bangsa lain. Oleh itu persoalan yang perlu diselidiki oleh sarjana-sarjana kita adalah apa sebenarnya yang berlaku kepada bangsa ini sehingga melupakan sejarah sendiri dan melupakan identiti sendiri? Isu kedua yang dibahas oleh Profesor Dzulkifli adalah mengenai alam sekitar. Isu ini sangat penting bagi beliau oleh kerananya buku ini diberi nama lakaran senario pasca-Tsunami. Kerana Tsunami sebenarnya melambangkan betapa ala mini semakin rusak dan tidak terjangkakan. Dengan merujuk kepada penulisan-penulisan Laszlo, Nicolescu, O’Sullivan dan lain-lain. Beliau sependapat bahawa kerusakan alam semesta adalah akibat daripada falsafah sains yang berdasarkan kepada paradigma Newtonian-Cartesian. Kedua-dua pemikir Barat ini berpendapat bahawa alam semesta seperti mesin gergasi yang beroperasi sendiri mengikut undang-undang yang tetap. Akibat daripada penumpuan pada rasionalisme dan empirisisme, menurut beliau, nilai-nilai kerohanian tidak dipertimbangkan lagi sebagai asas dalam menguruskan alam semesta. Oleh kerananya Prof. Dzulkifli berkesimpulan bahawa kerosakan alam sekitar yang termanifestasikan dengan tragedi Tsunami dan fenomena pemanasan global sebenarnya adalah kesan daripada pandangan dunia mekanistik yang dipelopori oleh Descartes dan Newton (hlm.34). Kecacatan paradigma Cartesian-Newtonian ini dijelaskan oleh O’Sullivan dengan baik: “The Modern [mechanistic] scientific perspective that has come down to us via Newton and Descartes has left no role in the universe for purposes, values, ideals, possibilities and qualities, and there is no freedom, creativity, temporality or divinity”(hlm.46). Antara penjelasan yang dikemukakan adalah pandangan Alvin Toffler yang menegaskan kesilapan sains hari ini menganggap bahawa manusia dan masyarakat juga dapat ditafsirkan dengan undang-undang yang tetap: “not only the consmos and nature but society and people behave according to certain fixed and predictable laws”, Toffler melanjutkan: “a universe that had seemed complex, cluttered, unpredictable, richly crowded, mysterious, and messy, began to look neat and tidy...(it) also created its own new prison, and industrial mentality that derogated or ignored what it could not quantify, that frequently praised critical rigor and punished imagination, that reduced people to oversimplified protoplasmic units, that ultimately sought an engineering solution for any problem” (hlm.35). Walaubagaimanapun, pengulas merasakan bahawa peniliain O’Sullivan, Laszlo, Nicolescu dan Toffler terhadap fenomena ini tidak menggambarkan hakikat keseluruhannya. Bagi pengulas kerusakan alam semesta ini tidak hanya berpunca dari teori mekanistik Cartesian-Newtonian, atau yang disebut sebagai “clock-maker theory”, tetapi sebabnya adalah lebih jauh dan mendalam dari itu. Ia berpunca dari falsafah secular-humanism, atau seperti dinyatakan oleh Manzoor ‘immanentism’ yang dianut oleh peradaban Barat sejak sekian lama. Seperti telah diungkapkan oleh al-Attas, antara agenda sekularisme adalah disenchantment of nature, iaitu mempercayai bahawa alam ini bukan sesuatu yang luhur dan suci tetapi sebagai benda mati. Dengan pandangan hidup seperti ini manusia dirasakan berhak berbuat apapun terhadap alam semesta tanpa ada rasa bertanggungjawab terhadap sesiapapun termasuk Tuhan. Ini kerana sekularisasi menurut al-Attas adalah: “the deliverance of man first from religious and then from metaphysical control over his reason and his language” (Islam and Secularism, 1993:33-40). Dengan erti kata lain, manusia dianggap seperti Tuhan, yang dengan akal rasionalnya berhak menentukan segala sesuatu tanpa mengambilkira pertimbangan-pertimbangan metafizik (termasuk agama) dan nilai-nilai kerohanian. Selain daripada isu alam mekanistik, Profesor Dzulkifli juga dapat melihat bahawa kapitalisme industri yang pada hari ini menjadi raksasa yang siap membaham seluruh kekayaan dunia sebenarnya bertitik tolak daripada falsafah darwinisme. Teori evolusi yang dikemukakan oleh Darwin cuba menerangkan bahawa alam ini terjadi hasil hukum mekanikal iaitu natural selection (seleksi alamiah) dan survival of the fittest (kemenangan bagi yang kuat). Malangnya teori yang kini banyak disanggah oleh saintis-saintis Barat sendiri (seperti Michael Behe dan lain-lain) telah begitu lama mengakar bukan sahaja dalam ilmu sains tabi‘i tetapi juga dalam sosio-politik masyarakat dunia. Padahal sesiapapun dapat memahami bahawa teori ini sebenarnya berusaha menyingkirkan Tuhan dari alam semesta. Menurut Profesor Dzulkifli darwinisme ini pada hakikatnya mencetuskan konflik dan persaingan antara dunia manusia dan alam semula jadi (hlm.40). Keserakahan, semakin luasnya jurang antara si kaya dengan si miskin, dan politik might is right semuanya mempunyai hubungan atau dijustifikasikan oleh falsafah yang menghancurkan ini. Semua ini menunjukkan bahawa sains dan teknologi yang dipelopori oleh Barat adalah antitesis terhadap pelestarian alam semesta. Oleh kerananya anjakan paradigma dalam sains dan teknologi perlu dilakukan, jika tidak umat manusia sebenarnya dalam diam sedang menggali kuburnya sendiri. Isu ketiga yang penting dibahas oleh Profesor Dzulkifli adalah mengenai Perancangan Senario (Scenario Planning). Dalam dunia pengurusan Future Scenario adalah kaedah untuk memastikan kelangsungan (survival) sesebuah syarikat atau organisasi. Ini kerana Tsunami boleh melanda bila-bila masa, dan tanpa perancangan yang jitu, apa pun yang kita bina selama ini akan hancur. Krisis moneter yang melanda Asia Tenggara pada 1998 adalah satu contoh bagaimana ancaman Tsunami boleh menjatuhkan satu-satu negara. Persoalannya adalah bagaimanakah sesebuah universiti dapat melakar masa hadapannya? Penulis mengutip Sohail Inayatullah yang pakar dalam Future Scenario, beliau mengatakan: “Futures thinking is about transformation. Not just mapping or understanding, even with depth, but with transforming the world. Another world is possible…Futures thinking (theories, methods, tools, and process) are all stunning social innovations that make the path to this other world far more likely” (hlm.81).Cabaran utama perancangan senario, menurut penulis, adalah mencari keperluan sebenar kelompok tertentu seperti penggubal dasar, apabila merreka sendiri mungkin tidak tahu apa yang perlu diketahui, atau mungkin tidak tahu bagaimana untuk menghuraikan maklumat yang mereka kehendaki sebenarnya. Senario yang berbeza-beza digunakan untuk menerokai ketidaktentuan hari muka. Menurut penulis lagi, perancangan senario ini dilakar oleh kumpulan yang menganggotai pelbagai kepakaran (hlm.82). Penulis juga menjelaskan bagaimana perancangan senario telah dapat menyelamatkan Shell, sebuah syarikat minyak gergasi, dan menjadikannya berkembang maju di kala syarikat lain mengalami kerugian besar. Yang menjadi rahasia kejayaan syarikat ini adalah memikirkan apa yang tidak terfikirkan (the unthinkable). Ketika harga minyak jatuh kepada separuh pada tahun 1986, syarikat ini dikatakan malah menjadi mewah. Tiga asas penting digunakan dalam melakar scenario masa hadapan iaitu: menyedari amaran awal, menciptakan strategi untuk mencari peluang baru, dan mengurangi risiko. Ketika ini Shell telah bersedia dengan senario masa hadapan sehingga tahun 2025. Menurut Profesor Dzulkifli, USM telah memulakan perancangan senario pada tahun lalu. Terdapat lima senario yang telah dilakarkan iaitu: scenario universiti dalam taman (yang diterajui para sarjana); universiti ala cartē (diterajui oleh pasaran-pelajar); universiti invisible (diterajui teknologi-pasaran-pelajar); universiti korporat (diterajui komersial); universiti negeri (diterajui tujahan negeri) (hlm. 89). Pengulas juga bersetuju apabila penulis menekankan perlunya perubaha set minda dan sikap pendidik dan pelajar. Kerana tanpa perubahan set minda dan sikap ini perancangan hari muka tidak akan dapat dilakukan (hlm.101). Lebih dari itu, perancangan senario ini juga dapat kita kembangkan kepada isu pembangunan bangsa. Apakah wawasan 2020 menepati perancangan senario yang digariskan di atas? Melihat kondisi bangsa Melayu pada hari ini, bukankah perubahan set minda dan sikap (watak bangsa) perlu diwacanakan? Tiba saatnya, pada pandangan pengulas, pemimpin-pemimpin bangsa ini bermuzakarah untuk melakar senario hari muka bagi bangsa ini agar sesuai dengan aspirasi dan wawasan pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu.
Khalif Muammar Akademi Kajian Ketamadunan
dikutip dari JAWHAR Jld. 4 Bil.2 2007 (Akademi Kajian Ketamadunan)
|