|
...“Kamu adalah umat terunggul (khayra ummah) yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang munkar dan kamu beriman kepada Allah”... (Ali 'Imran:110) Wahana Pencerahan dan Pemberdayaan Ummah |
Ulasan Buku
Ulasan Buku: Atas Nama Kebenaran
|
| Khairaummah mailing list | |
|---|---|
|
| Infoteks | |
|---|---|
|
|
| Seksyen | |||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
|
| Mailing List |
|---|
| klik di sini untuk menyertai mailing list khairaummah |
| Lawatan | ||||||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
|
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Trafik |
|---|
| Islamictube |
|---|
|
| Statistik |
|---|
|
Ahli: 533 Artikel: 294 Pautan: 5 Pengunjung: 513387 |
| Ulasan Buku: Atas Nama Kebenaran |
|
|
|
| Ditulis Oleh Dr Zaid Ahmad | ||||||
| Friday, 13 April 2007 | ||||||
|
ATAS NAMA KEBENARAN: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, Oleh Khalif Muammar. Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan, 2006, 360 hlm., harga RM 35.00, ISBN 983-41530-6-6 Kemunculan Islam Liberal sebagai satu aliran dalam pemikiran Islam abad ini merupakan satu babak baru dalam sejarah pemikiran Islam masakini. Buku berkaitan Islam Liberal yang diusahakan oleh saudara Khalif Muammar ini menemui khalayak kena pada masanya. Mengambil judul ”Atas Nama Kebenaran”, buku ini mengingatkan pembacanya akan misi besarnya iaitu untuk memberikan ”tanggapan kritis” ke atas suatu wacana yang kian meluas perdebatannya dewasa ini. Demikian itu kerana umat Islam kebelakangan ini sedang berdepan dengan suatu aliran fahaman yang dikaitkan dengan Islam yang berlindung disebalik tabir istilah Islam Liberal. Di Indonesia secara khusus telah pun wujud organisasi yang mengambil peranan sebagai wadah menyebar luaskan fahaman ini yang dikenali dengan nama Jaringan Islam Liberal (JIL) (lihat, http://islamlib.com/id/). Selain itu terdapat beberapa pergerakan yang beroperasi dan bergerak di peringkat antarabangsa yang membawa mesej yang sama iaitu menafsir Islam secara bebas dan keluar daripada batas lingkungan adab dan tradisi Islam seperti International Society for Islamic Secularisation (ISIS) yang berpangkalan di USA yang secara terang-terangan menyebar idea sekularisme dalam Islam. Apa yang ingin dibentangkan dalam buku ini, seperti yang dijanjikan oleh pengarangnya, merupakan suatu tanggapan dan/atau penilaian kritis terhadap wacana Islam Liberal itu. Beliau selanjutnya memberikan suatu tanggapan bahawa buku ini akan mengupas tentang Islam Liberal berasaskan sudut pandangan dan tilikan ilmiah yang kritis dan tentunya mendalam. Secara keseluruhannya buku yang mengandungi 360 halaman ini di bahagikan kepada tujuh bab, dimulai dengan bab satu yang mengambil tajuk Atas Nama Kebenaran. Dalam bab ini pengarang cuba mengungkapkan dan memberikan perspektif atau dimensi tentang masalah yang sedang melanda umat Islam ketika berhadapan dengan Islam Liberal. Sesungguhnya antara kebenaran dan kebatilan akan terus-terusan bersengketa. Demikianlah diumpamakan apabila berhadapan dengan persoalan Islam Liberal ini. Yang lebih membimbangkan ialah apabila kebatilan itu ditopengkan dengan ungkapan yang lunak-lunak dan menarik sehinggakan tanpa disedari ada kalangan yang terbuai dan tidak terasakan keanehan atau kejanggalannya. Ini juga yang berlaku apabila para pendokong Islam Liberal cuba berhujjah dengan cara dan gaya yang tampak meyakinkan. Hal inilah barangkali yang merunsingkan pengarang sehingga mendorong beliau mengambil inisiatif melakukan ”pembongkaran” ke atas apa yang diyakininya sebagai suatu pengasingan atau penyelewengan daripada akar, ruh dan adab keIslaman. Dalam bab dua yang bertemakan Akar Pemikiran Islam Liberal, pengarang menumpukan pebahasannya kepada menyelusuri punca-punca dan bibit-bibit yang mencetuskan idea Islam Liberal ini. Dari sekian banyak faktor beliau memilih untuk mengenengahkan beberapa faktor yang dianggapnya mustahak untuk diketahui dan dikongsi dengan pembacanya. Antara yang menarik pandangan beliau adalah seruan (oleh golongan ini) kepada kebebasan berijtihad dan penolakan autoriti agama, konsep pluralisme dan penolakan syari’ah Islam. Liberal yang merupakan kata kunci dalam aliran pemikiran ini sememangnya meletakkan kebebasan pada tempat yang terlalu tinggi. Akibat daripada proses ”liberalisasi” melampau inilah maka segala tradisi, adab dan tatacara keilmuan dan kesarjanaan Islam yang telah ”established” mula dipersoalkan dan dianggap tidak relevan dengan perkembangan semasa. Institusi keilmuan dan ke”ulama”an yang merupakan sebahagian daripada tunjang pembinaan tradisi intelektualisme Islam diruntuhkan. Islam Liberal mengizinkan semua orang mengambil bahagian dalam apa juga bentuk debat keagamaan termasuk perkara-perkara asas yang bekaitan dengan syariat tanpa perlu mengikut landasan tatacara, adab dan tradisi Islam. Islam Liberal berpegang kepada pluralisme agama dalam erti kata semua agama memiliki status ”kebenaran” yang sama berasaskan konsep perennial (hal.55). Yang membezakan antara agama adalah ”jalan” dan ”bungkusan” nya. Ini mengingatkan kita kepada kepada suatu gagasan pluralisme yang cuba diketengahkan sedikit masa dulu iaitu ”one God many paths”. Dengan kata lain yang berbeda antara agama itu hanyalah dari segi ”form”nya sahaja dan bukan ”essence”nya. Lanjutan dari sikap sedemikian, golongan ini pergi lebih jauh iaitu penolakan terhadap syariah Islam. Islam Liberal mempersoalkan legitimasi syariah Islam yang didakwa mereka sebagai hasil bikinan (construct) para fuqaha selama tiga abad. Mereka melihat syariat (termasuk yang fundamental) sebagai sesuatu yang tidak mutlak, boleh berubah dan perlu berubah mengikut keadaan. Ini merupakan sesuatu yang cukup mengelirukan. Mereka ini nampaknya tidak dapat melihat perbezaan antara syariah dengan maksud asas ajaran Islam dengan fiqh atau jurispruden yang merupakan hasil ijtihad oleh ulama Islam. Barang diingat juga, fiqh walaupun bersifat ijtihadi, tetapi tradisi ilmu Islam telah meletakkan garis panduan, tatacara dan adab yang ketat dan perlu dipatuhi sebelum berkelayakan memberikan pandangan-pandangan keagamaan. Ertinya seseorang tidak boleh sewenang-wenang memberikan pandangan tentang hal ehwal dan hukum hakam Islam sekiranya dia tidak memiliki ”kelayakan” tertentu yang disyaratkan bagi seseorang mujtahid. Dalam hal ini terdapat juga pendokong faham liberal yang agak sinikal dan ada kalanya memperlekeh syarat-syarat ketat yang digariskan oleh para ulama Islam terdahulu. Dalam bab ketiga pengarang menggarap dengan lebih mendalam tentang liberalisme sebagai ideologi yang mendokong kebebasan (dalam pengertiannya sendiri) dan kaitannya dengan Islam Liberal. Dengan kata yang lain beliau cuba menghuraikan dan mencari jawapan kepada persoalan ”apakah yang liberal dalam Islam Liberal”? Dalam menghuraikan isu liberalisme dalam Islam Liberal ini pengarang antara lain memberi contoh bagaimana golongan ini mentafsirkan homosexualiti. Beliau secara khusus mengulas tulisan seorang aktivis liberal Scott Sirajul Haq Kugle dalam artikel ”Sexuality, Dversity and Ethics in the Agenda of Progressive Muslim” yang mendakwa bahawa ulama Islam sebenarnya tidak mempunyai alasan kukuh untuk mengharamkan homosexual. Apa yang berlaku adalah hasil salah faham terhadap mesej berkaitan kisah kaum Lut yang pada anggapannya hanya membawa mesej etika, bukan mesej hukum (hal 114). Alasannya mudah, pelaku homosexual bukan tergolong dalam kategori dosa besar kerana kononnya tiada teks khusus dalam al-Quran yang berbicara tentang hal berkenaan. Manakala dalam bab-bab keempat dan kelima, pengarang mengangkat dua aspek penting dalam wacana Islam Liberal iaitu, pertamanya, mengenai rekonstruksi hukum dan keduanya mengenai kesetaraan gender. Beliau mengulas tentang bagaimana pandangan, reaksi dan tanggapan golongan Islam Liberal terhadap hukum Islam. Berasaskan landasan relativisme, golongan ini melihat hukum sebagai suatu konstruk manusia yang sifatnya terdedah kepada segala macam pengaruh luaran. Dalam hal ini pengarang menonjolkan beberapa tokoh orientalis yang terkenal seperti Goldziher, Schacht, Wansborough dan Coulson yang mana telah lewat tulisan-tulisan mereka telah memberikan pandangan yang ”serong” terhadap autentisiti dan legitimasi hukum Islam. Pandangan-pandangan inilah pada anggapan pengarang telah banyak mempengaruhi pemikiran setengah tokoh dan sarjana Islam dalam memberikan pandangan mereka tentang hukum dan perundangan Islam lantas mengemukakan pandangan yang asing dan aneh kepada Islam. Manakala dari segi kesetaraan gender, munculnya golongan feminis Muslim yang mempersoalkan beberapa hal berkaitan kedudukan wanita dalam Islam. Ini juga merupakan tempias daripada gerakan feminisme di Barat yang menuntut kebebasan dan hak persamaan gender. Golongan ini mempersoalkan banyak hal berkaitan kedudukan wanita termasuk hal-hal berkaitan undang-undang keluarga. Mereka ini mendakwa segala tafsiran berkenaan hukum oleh ulama dan mufassir merupakan manifestasi penguasaan kaum lelaki (male domination), mengandungi elemen gender bias dan tidak memberi keadilan kepada kaum wanita. Mereka malah mengemukakan gagasan “women-centred readings of religious texts” (hal. 188). Dalam bab keenam, di bawah sub-tajuk Islam Liberal: Anti Fundamentalisme dan Agenda Depolitisasi Islam, pengarang mengemukakan penilaiannya tentang apa yang dianggapnya sebagai elemen tersirat disebalik Islam Liberal itu. Pada waktu yang sama pengarang menamakan individu-individu khususnya di kalangan Muslim yang pada hemat beliau merupakan antara pemuka utama idea Islam Liberal. Antara isu yang di ketengahkan ialah bagaimana tumbuh dan biak sikap anti fundamentalisme di kalangan cendikiawan Islam dari glongan liberal ini. Sikap anti fundamentalisme adalah reaksi kepada fundamentalisme. Di sini pengarang mempersoalkan samada benar-benar wujud istilah fundamentalisme dalam Islam atau ianya hanyalah rekaan Barat yang mempunyai agenda tersendiri. Ini kerana fundamentalisme bukan berasal dari dalam Islam. Ianya satu istilah yang ”dipaksakan” ke atas Islam berasaskan neraca dan acuan Barat. Ia adalah ciptaan Barat dan banyak yang berpendapat ianya adalah propaganda yang punyai agenda tertentu (hal. 224). Fundamentalis sering dikaitkan dengan kejumudan, kekolotan, kemunduran dan yang terakhir dikaitkan dengan militan dan keganasan. Ini amat tidak adil bagi Islam. Apakah seorang Muslim yang tunduk patuh dan mahu menghayati ajaran agama dengan sepenuhnya itu dianggap atau disamakan dengan golongan fiundamentalis? Dalam bab ketujuh, iaitu bab yang terakhir, pengarang menyifatkan Islam Liberal sebagai satu ancaman yang boleh menggugat kesucian Islam. Di bawah tajuk Ancaman Islam Liberal: Realiti dan Solusi pengarang membuat sorotan tentang krisis pemikiran Islam masa kini. Beliau mengenengahkan beberapa aliran dominan seperti pascamodenisme yang pada hemat beliau amat kuat pengaruhnya dalam Islam Liberal. Antara gagasan penting pascamodenisme adalah menolak konsep kesakralan ajaran agama dan tidak menerima kemutlakan. Ini bermakna setiap sesuatu boleh dipertikaikan berasaskan pandangan-pandangan tertentu yang yang mungkin berbeza dari fahaman yang asal. Akhirnya beliau memberikan saranan-saranan yang pada hemat beliau dapat dijadikan gerak kerja dalam menangani wabak dan ancaman Islam Liberal ini. Sebelum itu beliau menggariskan tiga faktor yang memungkin perkembangan pengaruh Islam liberal iaitu a) kehilangan kepercayaan terhadap tradisi keilmuan Islam, b) meletakkan kepercayaan kepada tradisi keilmuan Barat dan c) meragui arus perdana dan mengunggulkan yang terpinggir (hal 287-289). Pengamatan umum memperlihatkan ketiga-tiga faktor di atas jelas merupakan gabungan daripada intisari dan ruh pemikiran pascamodenisme yang mendukung kekebasan. Bagi menghadapi kesan daripada perkembangan Islam Liberal ini, pengarang menggariskan tiga strategi iaitu a) pengukuhan world view dan penguasaan tradisi keilmuan Islam, b) menghindar pemikiran dikotomis dan c) pendekatan pertengahan (al-wasatiyyah).(hal. 292-299). Meneliti kandungan buku ini, kita mendapat kesan bahawa wacana Islam Liberal ini merujuk kepada pengertian khusus dan umum. Dalam pengertian khususnya mungkin ia merujuk kepada gerakan JIL yang berpangkalan di negara jiran. Namun yang lebih penting ialah pengertian umumnya di mana ia merangkumi apa jua aliran pemikiran yang mendokong aliran faham liberal yang muncul dalam berbagai sifat dan bentuk. Antaranya seperti yang disebut di atas iaitu International Society for Islamic Secularisation (ISIS) (www.secularislam.org) yang secara terang mendokong idea sekularisme dan pembebasan sepenuhnya daripada adab dan tradisi pemikiran Islam. Selain itu terdapat kumpulan-kumpulan ekstrem lain misalnya Queer Muslim (http://www.angelfire.com/ca2/queermuslims/) yang menghalalkan homosexual, International organization for lesbian, gay, bisexual, and transgender Muslims yang mamakai nama al-Fatiha Foundation (www.al-fatiha.org), dan yang seumpamanya. Sesungguhnya perkembangkan ini amat membimbangkan. Keseluruhannya, buku ini dipersembahkan dengan metod dan gaya penulisan yang menarik, jelas dan tersusun. Dalam proses penyediaannya, pengarang telah membuat sorotan literatur yang agak meluas serta membuat perbandingan-perbandingan khususnya dalam menghuraikan bagaimana proses pemikiran liberalisme Barat memasuki alam pemikiran Islam secara yang sukar dikesan. Antara kekuatan pada buku ini pada hemat saya adalah pengarang tidak terlalu cepat membuat kesimpulan atas sesuatu perkara yang dibahaskan. Sesuatu yang dikritik itu dibahas terlebih dahulu secara mendalam dengan rujukan-rujukan yang autentik, barulah dibuat penilaian. Ini membolehkan pembaca yang mungkin tidak mempunyai latar belakang pembacaan yang luas tentang wacana Islam Liberal ini memahami dengan lebih jelas asas kritikan terhadap sesuatu perkara. Seperti yang saya nyatakan di atas, buku ini hadir di tengah-tengah khalayak Islam yang sedang berdepan dengan simpang siur pemikiran semasa. Pengarang berjaya membongkar intisari pemikiran Islam Liberal, sisi-sisi pentingnya dan berjaya menghujjah dengan meyakinkan kenapa pemikiran tersebut perlu disanggah. Dalam mencari kejernihan pemikiran Islam dalam mendepani era yang serba mencabar ini, umat Islam memerlukan suatu perisai ilmiah yang ampuh dan buku ini adalah antara usaha pengarang membina perisai itu bagi mengimbangi pengaruh pemikiran Islam Liberal dan mempertahankan kesucian dan kemurnian Islam. Buku ini mungkin hanya memapar sebahagian dari sekian banyak simpang siur dalam wacana Islam Liberal. Oleh itu perbahasan lanjut perlu diteruskan dan buku seumpama ini amat dialu-alukan. Zaid Ahmad Universiti Putra Malaysia Dipetik dari: JAWHAR (Jurnal Ulasan Buku), Jld. 3. bil. 3. (2006), terbitan Akademi Kajian Ketamadunan
hanya ahli berdaftar boleh mennghantar komen!!
Powered by !JoomlaComment 3.26
3.26 Copyright (C) 2008 Compojoom.com / Copyright (C) 2007 Alain Georgette / Copyright (C) 2006 Frantisek Hliva. All rights reserved." |
||||||
| < Sebelumnya | Berikutnya > |
|---|