|
...“Kamu adalah umat terunggul (khayra ummah) yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang munkar dan kamu beriman kepada Allah”... (Ali 'Imran:110) Wahana Pencerahan dan Pemberdayaan Ummah |
Tamadun Islam
ISLAM DAN PERADABAN
|
| Khairaummah mailing list | |
|---|---|
|
| Infoteks | |
|---|---|
|
|
| Seksyen | |||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
|
| Mailing List |
|---|
| klik di sini untuk menyertai mailing list khairaummah |
| Lawatan | ||||||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
|
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| Trafik |
|---|
| Islamictube |
|---|
|
| Statistik |
|---|
|
Ahli: 533 Artikel: 294 Pautan: 5 Pengunjung: 514766 |
| ISLAM DAN PERADABAN |
|
|
|
| Ditulis Oleh Khalif Muammar | ||||||
| Thursday, 08 February 2007 | ||||||
|
Oleh: Khalif Muammar Usaha memperkenalkan, atau lebih tepat lagi mengingatkan, semula Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap terhadap umat Islam umumnya telah berjaya. Walaupun pada hari ini, ia mendapat tentangan daripada golongan liberal namun hakikat sebenar Islam akan sentiasa terjaga dengan terjaganya sumber-sumber Islam. Realitinya Islam bukan hanya sekedar agama yang menghubungkan manusia dengan Tuhannya tetapi lebih dari itu ia adalah al-din yang mengatur segala aspek kehidupan manusia. Berbeza dengan agama-agama lain, Islam juga tidak hanya terbatas pada kehidupan spiritual-peribadi tetapi merangkumi setiap aktiviti manusia baik yang bersifat publik mahupun peribadi (private). Selain dari itu, perlunya Islam dibezakan dengan konsep agama yang konvensional adalah kerana agama pada umumnya dilihat terasing dengan konsep pembangunan dan kemajuan. Bahkan golongan sekular melihat agama adalah penghalang kepada kemajuan (modernity). Agama dan modernity dianggap sesuatu yang tidak berkaitan atau bertentangan (incompatible). Atas dasar ini, peradaban Barat dibangun sepenuhnya berdasarkan modernisme dan mengetepikan peranan agama dan Tuhan.
Pada hari ini, umat Islam perlu diingatkan dengan satu lagi aspek agama Islam yang sering terlupakan iaitu Islam sebagai ‘wahana pentamadunan ummah’ (civilizing force). Bahawa Islam mempunyai hubungan erat dengan peradaban, dengan kemajuan, dan pembangunan manusia. Ini kerana pada hakikatnya Islam mendorong kemajuan (development, modernity) dan tidak sama sekali menghalangnya. Antara Islam dengan peradaban (al-hadarah) tidak dapat dipisahkan, melaksanakan Islam sepenuhnya secara tidak langsung bermakna membangun sebuah peradaban yang unggul. Memahami Islam dari perspektif ketamadunan ini semestinya akan membawa seseorang itu kepada hakikat bahawa Islam bukan hanya sekedar sebuah agama, dengan konotasinya yang sempit, tetapi sebagai wahana pentamadunan ummah yang dapat berfungsi sebagai ‘motor’ atau penggerak kecemerlangan sesebuah tamadun. Transformasi masyarakat Arab yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. daripada masyarakat badawi kepada masyarakat hadari dalam masa yang cukup singkat bukan hanya kerana kehebatan Rasulullah tetapi juga kerana keunggulan Islam yang dibawa oleh baginda. Penelitian mengenai fakta sejarah ini menunjukkan bahawa Islam berperanan mengangkat taraf kehidupan manusia. Memberikan manusia jatidiri, cara hidup dan pandangan sarwa (worldview) yang unik untuk dapat membawa misi kepimpinan (ustaziyyah) dan misi khilafah. Bertentangan dengan tanggapan golongan sekular, Islam pada hakikatnya sinonim dengan kemajuan sains dan teknologi. Islam mengajar manusia untuk berfikir dengan cerdas. Mengkaji alam semesta dan menjadikannya bermanfaat untuk kehidupan. Menyedari hal ini hingga dikatakan bahawa kemunculan Islam adalah kelahiran berfikir secara induktif. Sebenarnya Islam dan umat Islamlah yang memperkenalkan kaedah berfikir secara saintifik dan objektif. Walaupun sumbangan saintis-saintis Muslim terhadap perkembangan tamadun Barat kurang diberikan perhatian oleh Barat sendiri, namun beberapa sarjana Barat yang telus, seperti Robert Briffault (1876-1948), telah mengakui hal ini: “science owes a great deal more to the Arab culture, its owes its existence”.[1] Hakikatnya bukan sahaja bahawa sains Barat terhutang dengan tamadun Islam. Bahkan banyak idea-idea yang hari ini dibanggakan oleh Barat sebenarnya berasal dari para saintis dan pemikir Muslim. Terdapat bukti-bukti bahawa John Locke (1632-1704) yang menggagaskan idea natural right dan social contract telah membaca dan mendengar pencapaian orang Islam dalam bidang politik dan sosial.[2] Begitu juga dengan Rousseau dan Montesquieu yang biasa dengan karya-karya umat Islam seperti al-Ghazzali dan Ibn Taymiyyah. Kehebatan pencapaian umat Islam dalam bidang sains sosial dan sains politik dapat dilihat dalam ucapan Count Leon Ostrorog (1867-1932) di Universiti London: Those Eastern thinkers of the ninth century laid down, on the basis of their theology, the principles of the Rights of Man, in those very terms, comprehending the rights of individual liberty, and of inviolability of person and property; described the supreme power in Islam, or caliphate, as based on a contract, implying conditions of capacity and performance, and subject to cancellation if the conditions under the contract were not fulfilled...[those Eastern thinkers of old have also] expounded a doctrine of toleration of non-Muslim creeds so liberal that our West had to wait a thousand years before seeing equivalent principles adopted.[3] Pemerhatian secara mendalam terhadap ajaran Islam akan membawa seseorang kepada kesimpulan bahawa Islam adalah agama ilmu. Kepesatan perkembangan ilmu pengetahuan pada generasi awal Islam menunjukkan bahawa sains dan agama tidak bertentangan. Malahan Islam mendukung dan mendorong pengkajian ilmiah agar misi kekhalifahan dapat tercapai. Misi kekhalifahan itu sendiri sebenarnya merupakan wawasan ketamadunan. Berbeza dengan peradaban sebelum dan sesudah Islam, visi peradaban Islam meletakkan pembangunan manusia (human development) atau meminjam istilah Ibn Khaldun ’‘umran bashari’ sebagai matlamat utamanya. Jika konsep kesyumulan ajaran Islam ditekankan semula kerana melihat keadaan umat Islam pada masa itu yang telah menyempitkan peranan agama kepada perkara-perkara ritual dan tidak melaksanakan ajaran Islam secara keseluruhan, perlunya penekanan pada hari ini terhadap aspek ketamadunan Islam adalah kerana abad ke-21 semestinya merupakan abad kembalinya tamadun Islam ke persada dunia.[4] Untuk merealisasikan renaissans ketiga ini Islam perlu menyerlah sebagai tamadun alternatif, yang maju, matang dan unggul. Misi Liberatif-Transformatif Islam yang dibawa oleh Rasulullah jelas mempunyai misi liberatif-transformatif. Misi untuk melaksanakan perubahan dan pembebasan. Perubahan dari kemunduran kepada kemajuan, dari kegelapan dan kejahilan kepada cahaya yang terang benderang dan ilmu pengetahuan. Ajaran Islam yang dibawa oleh baginda jelas membawa misi pembebasan manusia daripada tahyul, mitos, penghambaan kepada benda atau sesama manusia dan pelbagai belenggu yang lain. Apa yang jelas manusia tanpa Islam akan terbelenggu sama ada belenggu yang bersifat pemikiran (kekeliruan dan kesesatan), belenggu sosial (diskriminasi), belenggu ekonomi (kemiskinan), belenggu kebendaan (hubb al-dunya), belenggu mental (ketakutan), belenggu politik (despotisme, dan pemimpin-pemimpin palsu) dan lainnya. Agenda perubahan dan pembebasan ini berjaya setelah masyarakat yakin dengan ajaran Islam dan kepimpinan Rasulullah. Keyakinan ini timbul setelah melihat keindahan Islam yang dibawa oleh baginda: wahyu (al-Qur’an dan al-Sunnah) yang mengandungi panduan dan bimbingan yang dapat mengisi kekosongan dalam minda dan kehidupan mereka; aqidah yang membebaskan mereka dari kesesatan dan pemikiran karut; Shari‘ah mendisiplinkan kehidupan seharian ; ibadah mengisi kekosongan jiwa ; dan akhlak menyempurnakan mereka menjadi insan yang mulia. Kesemuanya membina cara hidup yang sistematik, produktif dan menjana kebahagiaan. Menyedari kelainan dalam dakwah baginda, seorang Arab badawi berkata kepada orang-orang disekelilingnya bahawa dengan aqidah yang diperkenalkan oleh Rasulullah ini kamu akan dapat menguasai seluruh tanah Arab dan Ajam (asing) “tamliku biha al-‘araba wa al-‘ajam”. Ini terbukti beberapa abad setelah itu di mana tamadun Islam telah menguasai separuh dunia, dengan hikmah dan kebijaksanaan, berbanding tamadun Rom yang hanya menguasai satu pertiga dunia, dengan kekuatan bala tentera. Tamadun Islam yang gemilang ini telah melahirkan ramai tokoh-tokoh saintis yang mempelopori kemajuan sains dan teknologi. Namun kegemilangan tamadun Islam tidak berpanjangan atas sebab-sebab tertentu. Dalam menganalisa krisis ketamadunan umat Islam ini, Malik Bennabi melihat bahawa yang mengangkat sesebuah tamadun itu adalah kekuatan dalamannya atau idee-force, oleh itu ketiadaan kekuatan dalaman ini tentunya akan menyebabkan keruntuhan sesuatu tamadun. Malik Bennabi juga mengatakan bahawa jauhnya umat Islam daripada model yang tergambarkan dalam generasi awal menyebabkan umat Islam kehilangan arah dan motivasi. Beliau juga mengingatkan bahawa umat Islam telah terlebih dahulu memiliki al-qabiliyyah li al-isti‘mar (kecenderungan untuk dijajah) jauh sebelum penjajahan dipaksakan ke atas umat Islam.[5] Analisa beliau menunjukkan bahawa pentingnya umat Islam mengingat semula dan menghidupkan semula penghayatan keislaman mereka. Yang jelas Islam yang dikenal pada hari ini jauh berbeza dengan Islam yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Keruntuhan tamadun Islam, seperti yang dinyatakan oleh Iqbal dan ‘Abduh, berpunca daripada kebekuan minda (intellectual stagnation) umat Islam. Umat Islam menjadi tidak produktif dan jumud disebabkan oleh pemerintahan kuku besi yang menyelubungi hampir seribu tahun sejarah umat Islam. Umat Islam dapat menyelamatkan diri daripada pemerintahan absolutis ini dengan menghayati misi pembebasan yang dicanangkan oleh al-Qur’an. Sebuah peradaban hanya terbina apabila manusia itu ‘hidup’ seutuhnya. Keruntuhan dan kemunduran sesebuah tamadun hanyalah akibat daripada ‘kematian manusia’ yang berlaku jauh sebelumnya. Kita memerlukan manusia-manusia yang aktif mindanya, hidup jiwanya, berani bertindak dan melakukan perubahan. Kita perlu membebaskan diri daripada minda yang terjajah, hati yang pasrah, jiwa yang lembik yang tidak berani mengatakan tidak kepada yang tidak benar. Menyedari bahawa tamadun Islam telah banyak menyumbang kepada kemajuan tamadun Barat yang bermula pada abad ke-16 Masehi, umat Islam seharusnya tidak merasa terpegun dan silau dengan kegemilangan tamadun Barat pada hari ini. Hakikatnya tamadun Barat adalah ‘anak didik’ tamadun Islam. Namun ketika orang Islam mendalami sains Barat, mereka tidak didedahkan bahawa saintis-saintis Barat telah mengambil banyak idea-idea mereka daripada para saintis dan pemikir Muslim. Mereka beranggapan bahawa merekalah yang menciptakan idea-idea tersebut. Sebaliknya ajaran Islam selalu digambarkan dengan gambaran yang negatif. Ini mengakibatkan rasa rendah diri yang keterlaluan di kalangan umat Islam sehingga merasa apa yang Islam berikan adalah tidak baik dan segala kebaikan terdapat pada tamadun Barat. Tidak sedikit cendekiawan Muslim yang mencuba untuk menyesuaikan misalnya Islam dengan demokrasi, Islam dengan hak asasi manusia, padahal prinsip-prinsip demokrasi dan hak asasi manusia pada asalnya diambil daripada pemikiran Islam. Hal seperti ini tidak akan berlaku jika umat Islam memahami hakikat sebenar dan keyakinan mereka terhadap Islam tinggi. Rujukan Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Islam and Secularism. Kuala Lumpur: ABIM, cetakan semula ISTAC, 1993. ________, Risalah Untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: ISTAC, 2001. Al- Faruqi, Isma‘il Raji, al-Tawhid: Its Implications for Thought and Life. Herndon: IIIT. Bennabi, Malik, The Problem of Ideas in the Muslim World. Terjemahan bahasa Inggris oleh: Mohamed Tahir El-Mesawi. Kuala Lumpur: ABIM, 1994. ________, Shurut al-Nahdah. Terjemahan Bahasa Arab oleh: Umar Masqawi dan ‘Abd al-Sabur Shahin. Beirut: Dar al-Fikr, 2000. Berger, Peter L, ed. The Desecularization of the World. Washington, DC.: Ethics and Public Polity Center, 1999. Briffault, Robert, The Making of Humanity, London: George Unwine and Allen, 1928. Hofmann, Murad Wilfried, Religion on the Rise: Islam in the Third Millennium. Beltsville: Amana Publications, 2001. Ibn Khaldun, ’Abd al-Rahman, al-Muqaddimah. Beirut: Dar al-Fikr, 2004. Siddiq Fadzil, Kaum Ilmuwan dan Misi Pencerahan. Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan, 2006. ________, “Krisis Kependidikan Masa Kini: Cabaran Membina Generasi Berjiwa Merdeka” dalam MADANIYAT, Akademi Kajian Ketamadunan, 4:2 (2006). [1] R. Briffault, The Making of Humanity (London: George Unwin and Allen, 1928), 191. [2] C. G. Weeramantry, Islamic Jurisprudence: An International Perspective, Reprinted first published in 1988, (Kuala Lumpur: The Other Press, 2001), 105. [3] Count Leon Ostrorog, The Angora Reform (London: London University Press, 1927), 30-1, As cited by Asaf A.A. Fayzee, Outlines of Muhammadan Law, (London: Oxford University Press, 1964), 51-2 ; C. G. Weeramantry, Islamic Jurisprudence: An International Perspective, Reprinted first published in 1988, (Kuala Lumpur: The Other Press, 2001); Muddathir Abd al-Rahim, Islam and Non-Muslim Minorities (Kuala Lumpur: Just World, 1997),2. [4] Murad Wilfried Hofmann, Religion on the Rise: Islam in the Third Millennium (Beltsville: Amana Publications, 2001), Menganggarkan abad ke-21 adalah abad di mana Islam akan memberikan peranan yang penting. [5] Malik Bennabi, Shurut al-Nahdah (Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir, 2000), 156; Ibidem, The Problem of Ideas in the Muslim World, terj. Mohamed T. al-Mesawi (Petaling Jaya: ABIM, 1994), xiii.
hanya ahli berdaftar boleh mennghantar komen!!
Powered by !JoomlaComment 3.26
3.26 Copyright (C) 2008 Compojoom.com / Copyright (C) 2007 Alain Georgette / Copyright (C) 2006 Frantisek Hliva. All rights reserved." |
||||||
| Kemas Kini Terakhir ( Saturday, 26 May 2007 ) | ||||||
| < Sebelumnya | Berikutnya > |
|---|