Khairaummah mailing list
  • (no subject)
    Afwan kirim konfirmasi dari facebook faza fatiha
  • Fwd: Two Moons on 27th August 2010
    -KM- Begin forwarded message: --- On Tue, 24/8/10, wanzul wan daud < Alamat e-mail ini dilindungi dari spambot, anda harus menghidupkan JavaScript untuk melihatnya > wrote: From: wanzul wan daud < Alamat e-mail ini dilindungi dari spambot, anda harus menghidupkan JavaScript untuk melihatnya > Subject: Fw: Two
  • Fw: Undangan ke Siri Wacana ATMA
    ... From: " Alamat e-mail ini dilindungi dari spambot, anda harus menghidupkan JavaScript untuk melihatnya " < Alamat e-mail ini dilindungi dari spambot, anda harus menghidupkan JavaScript untuk melihatnya > To: Alamat e-mail ini dilindungi dari spambot, anda harus menghidupkan JavaScript untuk melihatnya ; Alamat e-mail ini dilindungi dari spambot, anda harus menghidupkan JavaScript untuk melihatnya ; Alamat e-mail ini dilindungi dari spambot, anda harus menghidupkan JavaScript untuk melihatnya ; Alamat e-mail ini dilindungi dari spambot, anda harus menghidupkan JavaScript untuk melihatnya ; Alamat e-mail ini dilindungi dari spambot, anda harus menghidupkan JavaScript untuk melihatnya ;
  • Wacana Fikir ATMA 8 Julai
    Salam, Untuk sesiapa yang berminat. Wacana Fikir ATMA Tajuk: ?Islamisasi Ilmu Pengetahuan Semasa: Sejarah dan Perkembangannya? Pembentang: YBhg. Profesor
  • Artikel tentang Penarafan Universiti
    Utusan Malaysia 25/5/2010 Apa sebenar penarafan universiti sedunia? Oleh Prof. Dr. Arndt Graf Debat tentang penarafan universiti sedunia sedang semakin hangat,
Infoteks

Ingin menulis di laman web ini?

Pelawat yang telah berdaftar akan dinaik-taraf sebagai penulis oleh admin. Sebagai penulis, menu hantar artikel akan wujud di bahagian menu pengguna. Artikel yang dihantar akan disemak oleh editor dan diluluskan untuk terbit sekiranya memenuhi kriteria laman web ini.

Pelawat juga boleh menghantar artikel ke arief_rf@yahoo.com



Ingin mengiklankan aktiviti / produk anda di sini? sila hubungi kami... email: arief_rf@yahoo.com


Mari boikot produk 
Israel/Yahudi
Hentikan menyokong kekejaman
Israel terhadap umat Islam
 
"it is an obligation not to help them
(the enemies of Islam) by buying
their goods. To buy their goods
is to support tyranny, oppression
and aggression" -Yusuf al-Qardawi
 
 






Ruangan forum dan komen artikel telah dibuka untuk semua pengunjung. Sila gunakan ruang tersebut dengan sebaiknya.  

Admin




Seksyen
Fikih Kebangkitan
Tamadun Islam
Pemikiran Islam
Dunia Islam
Tokoh Islam
Hawa
English Section
Puisi
Ulasan Buku
Mailing List
klik di sini untuk menyertai mailing list khairaummah
Lawatan
Hari ini: 76
Semalam: 99
Sebulan: 752
Jumlah: 95319
Maks sehari: 291
Maks sebulan: 5822
Kiraan Sejak: 2008-08-07
Totals Top 10
 62 % Malaysia (60692)
 18 % Indonesia (17590)
 5 % United States (4399)
 2 % China (2089)
 2 % Japan (2077)
 < 1.0 % Germany (1234)
 < 1.0 % Unknown (996)
 < 1.0 % United Kingdom (873)
 < 1.0 % Singapore (833)
 < 1.0 % Russian Federation (661)
95319 visits from 132 countries
Trafik
Islamictube
boycott_israel_275x275.gif
Statistik
Ahli: 533
Artikel: 294
Pautan: 5
Pengunjung: 513415
Relevansi Tasawwuf Dalam Pembangunan Ummah PDF Cetak E-mail
Penilaian Pengguna: / 1
BurukTerbaik 
Ditulis Oleh khairaummah   
Thursday, 11 January 2007
RELEVANSI TASAWWUF
DALAM PEMBANGUNAN UMMAH*


Khalif Muammar
Pendahuluan

Secara umumnya tiada seorang pun yang dapat menafikan kepentingan tasawwuf dalam tradisi Islam. Tasawwuf terbukti sangat berkesan dalam mendidik jiwa manusia, memberikan ketenangan hati dan mengisi kekosongan jiwa. Sehingga setelah memahami kepentingan tasawuf, ramai sarjana Muslim mengatakan bahawa ia adalah salah satu aspek penting ajaran Islam. Bahkan Seyyed Hossien Nasr mengatakan bahawa tasawwuf “serupa dengan nafas yang memberikan hidup. Tasawwuf telah memberikan semangatnya pada seluruh struktur Islam, baik dalam perwujudan sosial mahupun intelektual.”


Sebagai aspek dalaman (esoteris) ajaran Islam (al-janib al-‘Atifi min al-Islam),[2] tasawwuf kerap kali dikatakan sebagai hakikat sedangkan aspek luaran (eksoteris) dikatakan sebagai Shari‘ah. Kedua-dua hakikat dan Shari‘ah ini mempunyai peranan dan kepentingan masing-masing yang tidak dapat dipisahkan daripada ajaran Islam yang syumul. Oleh kerananya kedua-dua aspek ajaran Islam ini tidak boleh dilihat secara dikotomis, terpisah dan dipertentangkan.

Namun pada kenyataannya tasawwuf merupakan salah satu subjek yang sering disalahfahami oleh ramai orang, baik di kalangan Muslim sendiri mahupun orang bukan Islam. Hal ini berlaku di antaranya adalah kerana tasawwuf telah melalui evolusi dan perkembangan yang jauh setelah ia diperkenalkan kepada generasi awal Islam.

Dunia tasawwuf adalah dunia kerohanian (spirituality). Adalah sesuatu yang mustahil memahami dunia ini jika seseorang itu hanyut dalam alam material dan keduniaan. Pada hari ini, di mana kehidupan masyarakat didominasi oleh worldview sekular, tasawwuf menjadi sesuatu yang asing dan terpinggir. Malahan, ramai yang beranggapan bahawa orang-orang yang mengamalkan tasawwuf adalah orang-orang yang pelik, berfikir ke belakang dan konservatif.

Justeru, menurut penulis, ketika dunia semakin hanyut dengan materialisme dan hedonisme, peranan dan kepentingan tasawwuf dirasakan amat signifikan dalam usaha mengatasi permasalahan dan dilema yang dihadapi oleh masyarakat hari ini. Semakin dominan falsafah sekularisme dan immanentisme dalam kehidupan masyarakat semakin ramai orang yang tercari-cari akan ‘makna’ dan hakikat kehidupan. Gejala ini dapat dilihat dengan sambutan luar biasa masyarakat Barat terhadap ajaran-ajaran yang bersifat kerohanian-baik itu ajaran Buddha mahupun ajaran tasawwuf. Sehinggakan masyarakat sekular Barat bimbang jika fenomena ini berlanjutan pada beberapa dekad akan datang Eropah akan menjadi negara Islam.

Jalan sufi adalah jalan yang ditempuhi oleh seorang Muslim yang serius dan yang  bersungguh-sungguh meraih keredhaan Allah s.w.t. Hakikatnya jalan ke syurga dipenuhi dengan onak duri dan jalan ke neraka pula dipenuhi dengan perhiasan. Seorang Sufi betul-betul menghayati hadith yang menyebut bahawa dunia adalah penjara bagi orang Mukmin dan Syurga bagi orang kafir. Maka seorang sufi adalah seorang yang sanggup melepaskan kenikmatan dan perhiasan dunia jemudian sanggup menempuhi kepahitan, kekurangan dan kehinaan demi mencapai keredhaan Tuhannya dan bertemu dengan Sang Kekasih.

Di sebalik keseriusan, kepahitan dan kehinaan yang diharungi oleh seorang sufi, ia dapat merasakan kenikmatan, ketenangan dan kebahagiaan dalaman yang tidak dapat dirasakan oleh orang yang selesa dengan nikmat dunia. Oleh itu tasawwuf sebenarnya menawarkan kebahagiaan dalam kepahitan sedangkan dunia menawarkan kesengsaraan dalam keselesaan. Realitinya dalam dunia ini kita selalu berhadapan dengan paradoks: seorang yang mencari kebahagiaan dengan mengumpulkan harta benda, berseronok dan bersuka-ria tetapi di akhir pencariannya dia mendapati semuanya tiada berguna dan tiada memuaskan. Seorang yang tawadu‘ (merendah diri), zuhd (tidak materialistik), qana‘ah (merasa cukup), seringkali mendapati dirinya bebas, tenang, dan damai. Memang agak aneh tetapi itulah kenyataannya kehidupan dunia ini sebagaimana digambarkan dalam al-Qur’an seperti sarab (baying-bayang):

“Dan orang-orang Yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata Yang disangkanya air oleh orang Yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun Yang disangkanya itu; (Demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana Yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah amat segera hitungan hisabNya.(Surah al-Nur: 39)

 Oleh kerananya, Allah s.w.t. telah mengingatkan bahawa kadangkala apa yang manusia fikirkan baik sebenarnya tidak baik, dan kadangkala yang manusia fikirkan buruk pada hakikatnya adalah baik.[3]

Allah telah memperingatkan beberapa kali bahawa akhirat itu lebih baik daripada dunia:


“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun.” (al-Nisa’: 77)


Dunia juga digambarkan oleh al-Qur’an sebagai perhiasan yang menipu (mata‘ al-ghurur).


“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (’Ali ‘Imran: 185)


Al-Qur’an mengingatkan orang beriman agar tidak tertipu dan terhalang oleh harta benda dan keluarga dalam mencari keredaan Allah s.w.t.:


“Sesungguhnya, harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (al-Taghabun: 15)


Walaupun dunia ini dikatakan perhiasan yang menipu dan fitnah (cubaan) yang dapat menguji keimanan seseorang tetapi dunia tidak dikatakan hina, patut ditinggalkan dan dijauhi sepenuhnya sepertimana dalam sesetengah agama. Ini kerana, pada hakikatnya dunia dijadikan oleh Allah sebagai tempat untuk manusia mengabdi, ia adalah tempat ujian untuk menguji keimanan hamba-hamba-Nya, sebagai tempat dan alat ia sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang neutral.  Di bawah ini akan dijelaskan konsep zuhud sebenar untuk menunjukkan bahawa zuhud tidak bererti meninggalkan dunia sepertimana disalahfahami oleh ramai orang.



Memahami Semula Konsep Zuhud

Kebanyakan masyarakat hari ini memahami zuhud sebagai cara hidup yang meninggalkan dunia, berpakaian lusuh, makan dan minum ala kadarnya -tidak berkhasiat, tidak memiliki harta benda dan rumah yang selesa, menggunakan kenderaan yang buruk atau tidak berkenderaan langsung. Dengan konsepsi zuhud seperti ini maka konsep zuhud disinonimkan dengan kemunduran dan sikap konservatif. Jadi secara tidak langsung, orang yang menerima konsepsi zuhud seperti ini telah menyifatkan Islam dengan kemunduran dan anti dunia.

Benarkah zuhud itu sinonim dengan kemunduran dan anti dunia? Selain dari itu, persoalan yang lebih mencabar lagi adalah benarkah konsepsi tersebut bersandarkan kepada karya-karya ulama’ muktabar dalam ilmu tasawwuf dan akhlak seperti al-Ghazzali dan Miskawayh?

Dalam usahanya menerangkan apa yang dimaksudkan dengan zuhud, Imam al-Ghazzali mendefinisikan zuhud dengan: “tindakan seseorang yang menolak sesuatu yang diingininya untuk mendapatkan sesuatu yang lain yang lebih berharga.”[4] Walaupun dari definisi yang dinyatakan oleh al-Ghazzali ini tampak bahawa beliau mengisyaratkan perlunya dunia itu ditinggalkan untuk mendapatkan akhirat, namun penulis berpendapat apa yang dimaksudkan oleh al-Ghazzali adalah meninggalkan kecintaan terhadap dunia untuk memastikan seseorang itu mendapatkan habuan di akhirat. Ini kerana al-Ghazzali sendiri sering menekankan perlunya dunia dan segala apa yang terkandung digunakan sewajarnya, tidak berlebihan agar ia tidak menjadi penghalang kepada penghambaan diri kepada Allah s.w.t.. 

Sememangnya zuhud berkait rapat dengan penolakan terhadap dunia, tetapi penolakan tersebut tidak sama sekali bermaksud meninggalkan dunia. Yang ditolak adalah kecintaan terhadap dunia (hubb al-dunya).  Dunia dengan segala kesenangan dan perhiasannya bersifat menggiurkan, manusia yang kurang teguh imannya akan terpedaya dan menjadikannya lalai lalu meninggalkan perintah Tuhannya. Kecintaan terhadap dunia ini perlu dikawal dan ditundukkan kerana jika tidak ia akan menghanyutkan dan menyesatkan seseorang. Rasulullah s.a.w. beberapa kali mengingatkan bahawa hubb al-dunya merupakan faktor sebenar kepada kelemahan dan kerapuhan umat Islam:


“Dikhuatirkan akan datang kepada kamu bangsa-bangsa asing sebagaimana pemangsa-pemangsa mendatangi makanannya”. Seseorang berkata: “Apakah disebabkan jumlah kami yang kecil”, Baginda bersabda: “Justeru jumlah kamu pada masa itu banyak, tetapi kamu seperti buih di lautan. Allah akan cabut rasa takut dari hati musuh-musuh kamu, dan mencampakkan kelemahan dalam hati kamu”. Seseorang berkata: “Apakah kelemahan itu wahai Rasulullah”. Baginda bersabda: “Kecintaan terhadap dunia dan ketakutan akan mati.”


Di samping itu, terdapat juga hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:


“berzuhudlah engkau dengan dunia nescaya Allah akan menyayangimu, dan berzuhudlah engkau dengan apa yang ada pada manusia nescaya engkau akan disukai oleh manusia”.


Hadith di atas menunjukkan bahawa sifat yang baik pada seseorang itu adalah apabila ia tidak mengharapkan apa yang dimiliki oleh orang lain. Ia melakukan sesuatu bukan kerana inginkan sesuatu dari orang yang berkaitan tetapi melakukannya dengan ikhlas kerana Allah s.w.t. Perbuatan baik yang diiringi dengan adanya udang di sebalik batu akan menjadikan orang curiga akan niat seseorang yang berbuat baik dan boleh mengakibatkan hilangnya kepercayaan sesama Muslim. Lebih-lebih lagi, sifat seperti ini akan menyebabkan masyarakat cenderung untuk tidak berbuat seseuatu yang baik jika tidak ada keuntungan yang boleh didapati hasil daripada perbuatannya itu.

Bagi Sufyan al-Thawri, seorang tokoh sufi yang ulung, zuhud adalah perbuatan hati yang menyerahkan segala sesuatu demi mencapai keredhaan Allah s.w.t. dan menutup hati dari segala ambisi keduniaan. Kaum sufi juga telah menjelaskan ciri-ciri orang yang benar-benar memiliki sifat zuhud: orang yang tidak bergembira dengan mendapatkan keduniaan, tidak juga sedih dengan kehilangannya, tidak merasa seronok dengan pujian dan terancam dengan kritikan dan cacian, dan yang selalu mengutamakan pengabdian kepada Allah atas segala sesuatu yang lain.[5]

Oleh kerana zuhud adalah lawan kepada hubb al-dunya, maka pada hari ini istilah yang sesuai untuk memperkenalkan kembali zuhud dengan wajah yang segar adalah bahawa ia adalah lawan kepada sifat materialistik. Seseorang yang zuhud sebenarnya adalah seseorang yang tidak ada dalam dirinya sifat materialistic, kecintaan terhadap dunia atau pun mementingkan keduniaan.

Zuhud dalam erti kata hilangnya hubb al-dunya dalam diri seorang Muslim bukan satu pilihan melainkan satu kemestian. Zuhud yang selama ini dilihat sebagai suatu cara hidup yang khas dimiliki oleh para sufi atau ‘golongan agama’ sebenarnya suatu cara hidup yang diinginkan oleh Islam untuk diamalkan oleh setiap penganutnya. Islam mengajarkan umatnya agar melihat dunia sebagai alat yang digunakan untuk meraih keredhaan Allah s.w.t. di akhirat. Sebagai alat dan bukan matlamat, dunia tidak patut memesongkan manusia daripada tujuan hidupnya. Dunia memang diciptakan menarik dan menggiurkan kerana dengan itu Allah s.w.t. akan dapat menilai seeorang itu benar-benar menghambakan dirinya kepada Allah s.w.t. atau menghambakan dirinya kepada hawa nafsunya.

Zuhud yang diinginkan oleh Islam bukanlah dalam erti kata meninggalkan dunia. Islam tidak pernah mengajarkan penganutnya membenci dan meninggalkan dunia, iaitu berbanding dengan agama Nasrani yang melihat dunia sebagai sesuatu yang hina dan untuk menyucikan diri ia patut ditinggalkan. Sebagaimana tiada istilah manusia suci (maksum) kecuali Rasulullah, maka dalam Islam kesalehan seseorang tidak bergantung kepada ketidakterlibatannya dengan urusan dunia. Islam menyuruh umatnya menyeimbangkan antara dunia dengan akhirat, antara keperluan material dengan keperluan spiritual.   Hakikatnya manusia tidak seperti malaikat, manusia diciptakan dengan kedua-dua unsur, jasmani dan rohani, justeru itu pembangunan kedua-dua unsur ini adalah sangat penting bagi manusia. Kebahagiaan manusia semestinya terhasil apabila kedua-dua unsur ini diberikan perhatian yang seimbang. Islam menginginkan agar manusia mencapai kebahagiaan sejati, kebahagiaan dunia dan akhirat. Islam tidak mungkin memaksakan manusia untuk melakukan sesuatu dan menjadi makhluk yang bertentangan dengan fitrah semula jadi dirinya.


Fungsi Tasawwuf: Penyeimbang

Tasawwuf tidak boleh dilihat hanya berfungsi sebagai memenuhi keperluan dalaman dan kerohanian manusia. Tasawwuf juga sebenarnya berfungsi sebagai penyeimbang kepada keharmonian hidup manusia. Kemajuan dan pembangunan yang tertumpu pada aspek fizikal dan material akan melahirkan manusia yang pincang, dan seterusnya tamadun yang pincang.

Kehidupan yang didominasi oleh falsafah materialisme adalah kehidupan yang kasar, kering, penuh dengan konflik, kepentingan, permusuhan dan kebencian. Lebih daripada itu seorang yang materialistik pada kemuncaknya sanggup melakukan perkara yang menjijikkan demi memenuhi keinginan nafsunya. Ini menunjukkan bahawa sifat materialistik (nafsu) telah memenjarakan dan memperhambakan dirinya. Oleh itu, pada hakikatnya materialisme telah merendahkan martabat manusia kepada makhluk yang rendah, serendah binatang yang hidupnya hanya untuk memuaskan nafsu kebinatangannya.

Islam, sebagai panduan hidup manusia, telah memberikan jalan keluar bagi kepincangan dan ketidakharmonian kehidupan manusia. Solusi yang diberikan oleh Islam adalah keseimbangan (i‘tidal) antara pembangunan jasmani dan pembangunan rohani, antara keperluan material dan keperluan spiritual.

Kecenderungan untuk menumpukan pada aspek kerohanian dan meninggalkan pembangunan material menyebabkan ketidakseimbangan dan kemunduran. Alam kerohanian sememangnya amat luas, lebih luas dan dalam berbanding alam material. Tanpa kawalan dan keseimbangan seseorang yang tertumpu pada alam kerohanian akan terasyikkan dan akhirnya hilang (menghilangkan diri) dan asyik dengan dunianya sendiri. Golongan yang terlalu asyik dengan alam kerohanian ini seringkali lupa akan tanggungjawabnya di dunia, sebagai khalifah dan agen perubahan dan pembangunan umat manusia.

Tariqat-tariqat sufi yang menumpukan pada bentuk-bentuk zikir, wirid dan hizb, yang kadang-kadang keterlaluan (ekstravaganza) sebenarnya adalah satu bentuk ajaran yang keterlaluan (ekstrim). Bahkan pada sesetengah tariqat, kehebatan dan kelebihan shaikh tariqat menutupi kelebihan dan kehebatan Rasulullah s.a.w.[6] Terdapat juga doktrin sufi yang menjadikan ketaatan terhadap shaikh tariqat sebagai sesuatu yang absolut: “Hendaklah kamu menyerahkan diri kamu sepenuhnya kepada Shaikh seperti mayat yang diserahkan kepada pembersih mayat.”[7]

Sehingga saat ini, di alam Melayu, tasawwuf dan sufi amat sinonim dengan mistisisme. Ramai yang tertarik untuk berguru dengan seorang “wali” untuk mendapatkan kuasa luar biasa, kekebalan, dan beberapa ilmu kebatinan yang lain. Walaupun orientalis tidak membezakan tasawwuf dengan mistisisme, namun jelas bahawa terdapat perbezaan yang ketara antara tasawwuf dengan mistisisme. Mistisisme, khususnya yang berkaitan dengan kuasa luar biasa (paranormal) atau ilmu ghaib (occult), muncul setelah tasawwuf mula diselewengkan oleh beberapa aliran tasawuf. Ibn Taymiyyah adalah di antara ulama’ yang terang-terangan menentang penyelewengan kaum sufi di zamannya.

Masih ramai kaum sufi yang memberi pembelaan terhadap al-Hallaj dan Ibn ‘Arabi, sehingga terkesan, kerana kebesaran dan ketinggian maqam mereka, maka tidak mungkin mereka tersilap. Dalam menanggapi persoalan mengenai wahdat al-wujud yang dipertahankan oleh Ibn ‘Arabi, Sa‘id al-Nursi, seorang tokoh sufi terkenal abad ke-20, mengatakan bahawa ketinggian Ibn ‘Arabi tidak dapat dipungkiri dan beliau mendapat kedudukan yang istimewa di kalangan ulama’ hanya sahaja dengan berbagai pengalaman batinnya yang tanpa kontrol, ia telah melampaui batas dan berseberangan dengan majoriti ulama’. Sa‘id al-Nursi mengatakan bahawa kata-kata Ibn ‘Arabi “Yang ada hanyalah Dia” dengan maksud segala yang wujud pada realitinya adalah Tuhan, sebenarnya dia telah tertipu.[8]

Penghormatan al-Nursi terhadap Ibn ‘Arabi tidak menghalangnya untuk bersikap kritis terhadap tokoh tersebut. Bagi al-Nursi, seorang sufi meyakini bahawa setiap entiti alam ini merupakan cermin daripada salah satu nama Allah s.w.t. yang menjelaskan salah satu gambar-Nya. Sebagai cermin, gambaran yang terhasil agak berbeza dari segi hakikatnya dengan gambaran yang asal. Kekeliruan Ibn ‘Arabi terletak pada keyakinannya bahawa pantulan dari gambar entiti yang masuk ke dalam cermin tersebut sebagai entiti itu sendiri. Walhal ia hanyalah wadah, representasi daripada gambar asal, oleh kerananya tidak sama.[9] Di sini al-Nursi berpegang dengan prinsip akidah Ahlu’s-Sunnah wa’l-Jama‘ah bahawa setiap sesuatu mempunyai eksistensi (kewujudan) yang sendiri-sendiri dan hakikat segala sesuatu bersifat tetap.[10]

Penilaian kritis terhadap perkembangan tasawwuf juga dilakukan oleh Ibn Khaldun dalam karyanya, Muqaddimah. Setelah mengkaji dengan mendalam, Ibn Khaldun membincangkan perkembangan tasawwuf dengan cukup rinci dan ilmiah termasuk beberapa penyimpangan yang dilakukan oleh kaum sufi. Beliau menolak pandangan tokoh-tokoh sufi yang berbicara tentang al-hulul dan wahdat al-wujud dan mengatakan bahawa ia adalah hasil pengaruh IsmA‘Êliyyah dari puak Shi‘ah yang sememangnya mempunyai kepercayaan tersebut. Ibn Khaldun juga mengatakan bahawa konsep qutb ataupun ra’s al-‘Arifin (maqam yang tertinggi dalam tatanan sufi) adalah konsep yang tidak berasas sama sekali.[11]

Di antara dua ekstrim yang tidak bersesuaian dengan ajaran Islam tersebut, Islam menyuruh umatnya mengambil jalan tengah. Umat Islam sewajarnya adalah umat pertengahan (ummatan wasatan) di antara umat Yahudi yang rigid, literal, menumpukan pada aspek perundangan semata (the ten commandents) dan umat Nasrani yang telah memperkenalkan kerahiban (rahbaniyyah), meninggalkan dunia demi menyucikan diri.[12]

Sejak awal lagi Rasulullah s.a.w. telah memperingatkan bahawa dalam Islam tiada kerahiban: lA rahbaniyyata fi al-Islam. Dengan demikian umat Islam terlepas dari satu keburukan yang terdapat dalam agama lain iaitu bid‘ah kerahiban. Rasulullah s.a.w. memarahi sebahagian orang yang cuba beribadah dengan meninggalkan makan minum, berkahwin dan tidur malam, sebaliknya menyuruh mereka mengikuti sunnah baginda yang menjalani kehidupan seperti manusia biasa.

Di samping itu kemantapan rohani merupakan bekal yang penting dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba. Seseorang yang hanya dibekalkan dengan kekuatan minda amat rawan kekecewaan dan putus asa, kerana tidak semua perkara dapat diselesaikan dengan kemampuan akal manusia. Hakikatnya, para saintis telah mengakui bahawa kejayaan seseorang dalam kehidupan bukan sahaja ditentukan oleh ketinggian IQ tetapi juga ketinggian EQ (emotional quotient) dan SQ (spiritual quotient)[13] atau pun oleh sarjana Muslim disebut sebagai kecerdasan rohaniah (transcendental intelligence).[14]

Kecerdasan rohaniah mampu membekalkan semangat, kekentalan, kesabaran, keikhlasan, kejujuran, integriti, dsb. Seseorang yang merasakan dirinya dekat dengan Tuhan akan sentiasa berbuat baik, berbakti kepada masyarakat demi mencapai keredaan Sang Kekasih dan mengharapkan ganjaran-Nya di akhirat kelak. Kecerdasan rohaniah menghasilkan kawalan dalaman dan taqwa (self-restrain) yang dapat menghalang seseorang Muslim daripada melakukan perbuatan maksiat, jahat dan tercela walaupun tiada pengawasan dan kawalan luaran.

            Tasawwuf tidak sesekali memundurkan seseorang. Seseorang yang dekat dengan Allah s.w.t. semestinya adalah orang yang banyak berbuat dan bukan hanya berharap. Ungkapan yang menggambarkan keperibadian para sahabat di zaman Rasulullah s.a.w. adalah mereka itu seperti para rahib di waktu malam dan pasukan berkuda pada waktu siang “ruhbanun fi al-layl wa fursanun bi al-nahar.” Inilah gambaran sebenar seorang Muslim yang benar-benar mengikuti ajaran Islam. Seorang yang dekat dengan Tuhan tetapi juga seorang yang beraksi dan bukan hanya penonton. Seorang Muslim sejati adalah yang memainkan peranan sebagai aktivis, reformis, pengurus, pentadbir, pemikir, pendidik dsb. Mereka adalah golongan yang dirasakan akan kehadiran mereka oleh umat ini dan merasa kehilangan dengan ketiadaan mereka.


Revitalisasi Tasawwuf

Tasawwuf perlu diperkenalkan semula kepada masyarakat dengan pendekatan yang baru. Pendekatan yang menumpukan pada substansi dan bukannya bentuk (form). Pendedahan yang apresiatif sekaligus kritis perlu diperkenalkan kepada para pendidik. Tidak seperti ilmu SharÊ‘ah lainnya, tasawwuf adalah ilmu yang mengalami perkembangan yang luas dan terkadang tidak terkawal. Dalam menggambarkan hal ini, al-Attas mengatakan bahawa seseorang itu mesti dapat membezakan antara aspek positif tasawwuf daripada aspek negatifnya. Menurutnya aspek negatif tasawwuf sebenarnya tidak merujuk kepada tasawwuf yang sebenar.[15] Al-Attas mendefinisikan tasawwuf sebagai pengamalan Shari‘ah dalam maqam ihsan. Baginya tasawwuf membentuk dimensi dalaman Islam di mana organ yang digunakan juga adalah organ spiritual (fu’ad, qalb). Dimensi dalaman ini menuntut seseorang pergi lebih jauh daripada sekadar pengamalan luaran.[16]

Muhammad al-Ghazzali juga telah cuba melakukan tajdid terhadap tasawuf. Persoalan utama yang ingin diatasi olehnya adalah bagaimana mengeluarkan tasawwuf dari ‘gua pertapaan’ sehingga ia dapat menjadi kekuatan yang menggerakkan.[17] Muhammad al-GhazAlÊ menjelaskan bahawa konsep ihsan yang ditekankan dalam hadith tidak seharusnya dibatasi pada ibadah khusus sahaja. Hadith lain menuntut bahawa Allah s.w.t. mewajibkan hambanya berlaku ihsan pada setiap perkara yang dilakukan.

Berangkat daripada hadith ini Muhammad al-Ghazali mengatakan adalah tanggungjawab setiap Muslim untuk memastikan segala tindakannya, pekerjaan yang dipilihnya, bidang yang diceburinya dilakukan dengan sebaik mungkin untuk menjamin kualiti dan tahap kecemerlangan yang tertinggi. Bahkan menurut beliau, pelaksanaan fardu kifayah tersebut akan menentukan setiap Muslim dapat melaksanakan fardu ‘ain.[18] Dengan demikian tidak ada alasan umat Islam ketinggalan dalam bidang sains, teknologi, perubatan, ketenteraan, ekonomi dsb. Kerana apabila wujud sikap untuk berbuat yang terbaik (ihsan) dalam melakukan setiap perkara maka umat Islam tidak akan ketinggalan dan mundur seperti sekarang ini.[19]

Sa‘id al-Nursi telah berjaya meyakinkan bahawa tasawwuf masih lagi relevan pada abad ke-20. Dalam Lama‘at beliau menerangkan rahsia setiap ajaran Islam dan hikmah di sebalik setiap perkara yang ditetapkan oleh Allah s.w.t., satu pendekatan yang mampu meyakinkan kepentingan tasawuf dalam zaman materialistik ini. Pendekatan al-Nursi ini sangat digemari oleh masyarakat Turki ketika itu kerana sangat praktikal dan mudah difahami.

Di Nusantara, telah muncul seorang ilmuwan besar yang telah mencuba untuk memurnikan ajaran tasawwuf. Prof. Dr. Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah) menyedari bahawa perkembangan Islam di Indonesia dan di dunia Islam umumnya telah dipengaruhi oleh ajaran tasawwuf yang menyeleweng.[20] Dalam menanggapi hal ini antara lain Hamka mengatakan:


“Di dalam zaman kekacauan fikiran, lantaran kacaunya ekonomi, sosial dan politik; kerapkali timbul kerinduan ummat hendak melepaskan fikiran dari pengaruh kenyataan, lalu masuk ke dalam daerah khayalan Tasauf”.[21]


Menurut Hamka, orang pertama yang menyerukan tajdid tasawwuf di Nusantara adalah Ahmad Khatib bin ‘Abdu’l-Latif al-Minangkabawi yang mengajar di Mekah. Beliau telah menentang keras amalan-amalan ahli tariqat terutamanya tariqat al-Naqshbandiyyah yang merabitahkan atau menghadirkan guru-guru tariqat ketika permulaan suluk. Menurut ulama’ ini perbuatan seperti itu adalah syirik.[22] Sebagai kesimpulan Hamka menyarankan agar tasawwuf dikembalikan kepada pokok pangkalnya iaitu Tawhid. Beliau mengatakan bahawa wahdat al-wujud bertentangan dengan prinsip Tawhid yang menjadi asas ajaran Islam.[23]

Perlu juga dijelaskan bahawa dalam seseorang itu mempelajari tasawuf ia tidak semestinya bertariqat. Kerana tasawwuf tidak hanya tertumpu pada zikir, suluk, mujahadah, salasilah dan kuantiti ibadah khusus yang banyak tetapi yang lebih penting adalah kefahaman dan penghayatan terhadap hakikat ajaran tasawwuf. Hakikat tasawwuf ialah hidupnya hati nurani dan jiwa manusia yang sentiasa sedar akan hakikat dirinya, dan hakikat ketuhanan dalam setiap amal perbuatannya. Seorang sufi melihat segalanya berasal daripada Allah s.w.t., dengan kuasa Allah s.w.t. dan akan kembali kepada Allah s.w.t. Seorang sufi tidak terfikir untuk melepaskan dirinya dari tunduk kepada Shari‘ah, justeru dia akan sentiasa memelihara diri daripada perkara-perkara yang ditegah oleh Shari‘ah.

Hasan Al-Banna, pengasas al-Ikhwan al-Muslimin, memperkenalkan sistem usrah untuk menjadikan tarbiyyah ruhiyyah sebagai asas pembangunan pejuang dakwah. Nyata sekali bahawa beliau melakukan penggabungan antara tasawwuf dan fiqh al-harakah. Tasawwuf tidak menjadi tujuan tetapi alat untuk membentengi diri dan memperkuat barisan. Tasawwuf yang ingin diketengahkan di sini bertujuan untuk meningkatkan kerohanian dan mendidik jiwa para da‘i sebelum mereka berperanan sebagai pembimbing masyarakat. Sebagai seorang da‘i tasawwuf dapat menjadi sumber kekuatan, semangat dan daya juang yang sangat diperlukan dalam mengharungi cabaran dakwah.


Kesimpulan

Terdapat kekeliruan dan penyelewengan dalam memahami tasawwuf sehingga ia lebih sinonim dengan ilmu kebatinan. Wujud sebahagian orang yang ingin mengamalkan tasawwuf kerana ia memberikan keseronokan, kerana ingin lari daripada dunia yang membebankan dan mengecewakan, kerana inginkan kelainan dan kepuasan dalaman.  Terdapat juga aliran yang menumpukan pada ritual (upacara-upacara peribadatan).  Kekeliruan ini menyebabkan timbulnya gejala khumul, tidak progresif dan budaya pasrah. Jelas sekali hal ini bertentangan dengan ajaran Islam, sehingga terhadap golongan seperti ini Sayyidina ‘Umar mengatakan inna al-sama’ lan tumtira dhahaban (sesungguhnya langit tidak akan menurunkan emas) dan menyuruh mereka untuk  berusaha dan mencari rezeki sendiri. Tasawwuf yang menyimpang inilah yang dinyatakan oleh al-Faruqi sebagai salah satu penyebab kemunduran umat Islam.

Tasawwuf yang disahkan oleh para ulama’ mu'tabar seperti Imam al-Ghazzali, Ibn al-Qayyim, Muhammad al-Ghazali dan Yusuf al-Qaradawi adalah tasawwuf yang menghasilkan akhlak mulia dan meningkatkan ibadah dalam erti kata yang luas. Yang menjadi kaedah dan parameter dalam pembangunan insan, pembangunan yang bersifat holistic dan mengarah kepada  keseimbangan jasmani dan rohani, luaran dan dalaman.

Kesimpulannya, sememangnya tuduhan bahawa tasawwuf adalah punca kemunduran adalah tuduhan yang tidak berasas. Namun, ternyata ada ketikanya tasawwuf memberikan tempat perlindungan dan keselesaan bagi orang-orang yang menyerah kalah dan hilang daya juang. Tasawwuf menjadi tempat yang selesa bagi mereka kerana memberikan tempat pelarian dan justifikasi akan segala tindakan mereka. Keselesaan dan tempat perlindungan palsu seperti inilah yang seharusnya diruntuhkan oleh umat Islam agar umat Islam dapat hidup di alam nyata dan bukan di buai mimpi-mimpi indah, agar umat Islam mampu menjalankan misinya sebagai khalifah Allah di samping menjadi hamba-Nya.

Tasawwuf pada hari ini semestinya dikembalikan kepada fungsinya yang asal iaitu sebagai satu kaedah untuk membina manusia rabbani, manusia yang unggul. Suatu jalan yang merapatkan hubungan insan dengan Tuhannya dan masyarakat sekelilingnya. Ia juga berperan untuk menyeimbangkan kehidupan manusia kerana keseimbangan jasmani dan rohani sahajalah yang dapat menjamin kebahagiaannya di dunia dan di akhirat. Dengan memurnikan tasawwuf dari segala penyimpangan dan penyelewengan tersebut di atas maka ia akan dapat menjadi sumber kekuatan umat Islam dan bukan sebaliknya.


*Artikel ini dikutip dari buku Pendidikan Sebagai Wahana Pentamadunan Ummah Kajang: Kolej Dar al-Hikmah, 2006.

Rujukan

Abul Quasim, Muhammad, The Ethics of al-Ghazali: A Composite Ethics in Islam. Petaling Jaya: diterbitkan oleh penulis, 1975.
Al-Attas, S.M.N., The Positive Aspects of Tasawwuf. Kuala Lumpur: ASASI, 1981.
________, Risalah untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: ISTAC, 2001.
________, The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of the Aqa’id al-Nasafi. Kuala Lumpur: Department of Publication University of Malaya, 1988.
Al-FarËqÊ, Isma‘il Raji, Al-TawÍīd: Its Implication for Thought and Life. Herndon, Virginia: International Institute of Islamic Thought, 1995.
Al-GhazzÉlÊ, AbË ×Émid, IhyÉ’ ‘UlËm al-DÊn. ‘AmmÉn: Maktabah FayyaÌ, t.t.
Al-GhazÉlÊ, MuÍammad, al-JÉnib al-‘ÓÏifÊ min al-IslÉm: BaÍth fÊ al-Khuluq wa al-SulËk wa al-TaÎawwuf. al-Iskandariyyah: DÉr al-Da‘wah, 1990.
Gulen, Fethullah M., Key Concept in the Practice of Sufism,
Rutherford: The Light, 2004.
Hamka, Tasauf: Perkembangan dan Pemurniannya, cetakan ke-20, Jakarta: Pustaka Panjimas, 2005.
Hawwa, Said, JundullÉh ThaqÉfatan wa AkhlÉqan. Beirut: DÉr ‘AmmÉr,
t.t.
Ibn Khaldun, Muqaddimah al-‘AllÉmah Ibn KhaldËn. Beirut: DÉr al-Fikr,
2004.
Nasr, Seyyed Hussain, Tasawuf Dulu dan Sekarang, penterjemah Abdul Hadi. Jakarta: Pustaka Firdaus, 1991.
Nursi, Said, Menikmati Takdir Langit (Lama‘Ét), diterjemahkan oleh Fauzy Bahreisy dan Joko Prayitno. Jakarta: Murai Kencana, 2003.
Pratiknya, Pesan Perjuangan Seorang Bapak. Jakarta: DDI, 1989.
Al-QaradÉwÊ, YËsuf, ThaqÉfat al-DÉ'iyah. Kaherah: Maktabah Wahbah,
1996.
Rahman, Fazlur, Islam. Chicago: University of Chicago Press, 1979.
Siddiq Fadzil, Perspektif Qur’ani: Siri Wacana Tematik. Kajang: Biro Dakwah dan Tarbiyah ABIM Pusat, 2003.
Toto Tasmara, Kecerdasan Rohaniah (transcendental Intelligence). Jakarta: Gema Insani Press, 2001.




Komen
Carian
hanya ahli berdaftar boleh mennghantar komen!!

3.26 Copyright (C) 2008 Compojoom.com / Copyright (C) 2007 Alain Georgette / Copyright (C) 2006 Frantisek Hliva. All rights reserved."

 
< Sebelumnya   Berikutnya >